Wednesday, November 5, 2008

Berita Sawit

MPOB sedia RM10 juta biasiswa pelajar
Oleh Suraya Harun
suraya@mpob.gov.my

BANGI: Sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi skim Biasiswa Yayasan Pendidikan MPOB (YPM) sebagai usaha MPOB melahirkan penyelidik pelapis yang berkepakaran dalam bidang sains dan teknologi untuk memenuhi keperluan industri sawit yang semakin berkembang. MPOB memerlukan penyelidik berkepakaran tinggi bagi melaksanakan penyelidikan dan kajian bagi tujuan meningkatkan lagi penemuan teknologi dan kegunaan baru minyak sawit selaras dengan permintaan pasaran global.
Ketua Pengarah MPOB, Dato' Dr Mohd Basri Wahid berkata demikian pada majlis penyampaian tiket penerbangan kepada Mohd Hefni Rusli pelajar tajaan biasiswa YPM yang melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di University of Bath, United Kingdom selama tiga tahun mulai September lalu. "MPOB pada setiap tahun akan menawarkan biasiswa YPM kepada pelajar yang layak melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan penyelidikan dan pembangunan yang berasaskan minyak sawit. "Mereka ini, selepas tamat pengajian akan pulang dan berkhidmat dengan MPOB di dalam bidang kepakaran yang diperoleh.

"Kita berharap dengan cara ini MPOB berupaya meningkatkan kepakaran dan melahirkan wargakerja bertaraf dunia bagi menjalankan penyelidikan dan berjaya mencapai taraf Nobel Laureate pada masa akan datang," katanya. Beliau menasihati pelajar supaya fokus kepada pengajian dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh MPOB itu. Seorang lagi pelajar yang ditawarkan biasiswa sama untuk melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ialah Cik Nazrinahamin Ahmad Nazir yang memulakan pengajian di dalam bidang Polimer di University of Akron, Ohio, Amerika Syarikat mulai Ogos lalu. Dato' Dr Mohd Basri juga menjelaskan dua pelajar PhD bagi sesi tahun terdahulu kini menjalani latihan praktikal. Pelajar itu, Kho Lip Khoon, di University of Oxford, London dan Fu Ju Yen di University of Strathclyde, Glasgow, United Kingdom.

Beliau berkata, sepanjang skim biasiswa ini dimulakan pada 2003, dua pelajar berjaya menamatkan pengajian PhD pada 2007 dan mereka ditawarkan jawatan Pegawai Penyelidik MPOB di dalam bidang masing-masing. Skim ini terbuka kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda IPTA/IPTS yang cemerlang di dalam bidang dikenalpasti untuk melanjutkan pengajian lepasan ijazah di universiti berprestij di UK dan Amerika Syarikat.

1 comment:

MISS J @Lagapas said...

Ting tong!!! Found you! heh

ok, just stalking..have fun guling2 wif my sis. Muahaha. See you soon..